AGENDANASIONAL

Covid-19 catat kematian dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 31 OGOS: Malaysia merekodkan satu lagi kematian akibat Covid-19 hari ini, hari kedua berturut-turut selepas sebulan tanpa kes meninggal dunia dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian ke-127 melibatkan lelaki berusia 62 tahun dari Kluster Tawar, Kedah.

“Kes 9,124 mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos setelah didapati positif Covid-19.

“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos lalu. Beliau disahkan meninggal dunia semalam pada jam 10.35 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah sebanyak enam lagi kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,340 kes setakat ini.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah sebanyak 159 kes, manakala enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan empat pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak enam kes pulih direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti yang pulih daripada wabak itu sebanyak 9,054.”


Pengarang :