Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Covid-19: Ekonomi suku kedua kuncup 17.1 peratus, terburuk sejak 1998

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus dalam suku kedua 2020, penyusutan dua angka bagi suku yang terburuk sejak 1998 berikutan pelaksanaan perintah kawalan tidak dijangkakan bagi membendung penularan Covid-19 dan menyaksikan ekonomi hampir tidak bergerak.

Pada suku keempat 1998, Malaysia mencatatkan penyusutan dua angka sebanyak 11.2 peratus dan pada suku kedua 2019, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 4.9 peratus.

Bagi suku ini, semua sektor-sektor perkhidmatan, perlombongan dan kuari dan pembinaan masing-masing susut 16.2 peratus, 18.3 peratus, 20 peratus dan 44.5 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Sektor pertanian bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.0 peratus.

Susulan pertumbuhan kecil sebanyak 0.7 peratus bagi suku pertama tahun ini, KDNK bagi separuh pertama mencecah -8.3 peratus berbanding 4.7 peratus dalam separuh pertama tahun lepas, kata beliau pada sidang media, hari ini.

Hadir sama, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Di peringkat serantau, Singapura mencatatkan penyusutan KDNK sebanyak 12.6 peratus manakala Filipina menguncup 16.5 peratus dan Indonesia susut pada 5.3 peratus.

Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Mengulas perkara itu, Nor Shamsiah berkata campur tangan agresif yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membolehkan pemulihan ekonomi secara lebih pantas.

Menurutnya, BNM telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2020 kepada -3.4 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu berdasarkan tempoh PKP selama empat minggu berbanding tujuh minggu.

Ekonomi juga dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus kepada 8 peratus pada 2021.

Unjuran pertumbuhan lebih baik dalam separuh kedua 2020 dan 2021 adalah berdasarkan kepada peningkatan berterusan persekitaran luaran, normalisasi aktiviti ekonomi secara beransur-ansur dan keadaan pasaran tenaga kerja, projek-projek pelaburan baharu, permintaan terhadap produk-produk teknologi dan penjagaan kesihatan serta pengembangan dalam kapasiti pengeluaran berkaitan komoditi.

– BERNAMA


Pengarang :