Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 25 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kawalan sempadan negara perlu terus dipertingkat

PUTRAJAYA, 25 OGOS: Kawalan sempadan negara perlu terus dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dari 3 April sehingga 23 Ogos, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring, dengan 103,289 telah dikuarantinkan sama ada di rumah atau pusat kuarantin.

“Kes positif Covid-19 yang dikesan pula adalah sebanyak 899 kes yang mana mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital. Sekiranya terdapat kelemahan, sistem ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, bagi memastikan tiada penularan jangkitan, pematuhan kepada undang-undang dan tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan amat penting, katanya.

“Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan Covid-19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh situasi di Malaysia,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua petugas barisan hadapan untuk terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan.

Menurutnya sekiranya mereka menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ia dapat dirungkai dan diselesaikan.

Dr Noor Hisham berkata ia adalah penting untuk memastikan undang-undang serta SOP dipatuhi, dan petugas barisan hadapan adalah terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan.

Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah amat penting untuk digunakan bagi memutuskan penularan Covid-19 dan ketidakpatuhan terhadap akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit, katanya.

“Sekali lagi diingatkan kepada semua petugas untuk patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan dan orang ramai untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Masyarakat memainkan peranan amat penting dengan mematuhi sepenuhnya akta ini dan segala SOP yang ditetapkan, tidak kira siapa dan di mana sekali pun. Hanya dengan kepatuhan 100 peratus terhadap akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :