Pelajar mengamalkan penjarakan sosial satu meter semasa menunggu giliran untuk menaiki bas ketika proses penghantaran pulang pelajar IPT ke kampung halaman di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya pada 27 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

TANJUNG MALIM, 20 OGOS: Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 dan tatacara operasi piawai (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai SOP dengan pihak universiti dan KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

-BERNAMA


Pengarang :