Pelajar memakai pelitup muka selepas pemerintah Indonesia membuka kembali sesi persekolahan dengan melaksanakan proses pembelajaran secara bersemuka di tengah kebimbangan penularan wabak Covid-19 di Bekasi, di pinggiran Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Kes positif di Indonesia terus meningkat, terkini 111,455

JAKARTA, 2 OGOS: Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat dengan tambahan 1,519 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 111,455 kes.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sejumlah 63,366 pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 43 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah keseluruhan korban di republik itu akibat coronavirus meningkat kepada 5,236 orang.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 22,504 kes diikuti Jakarta (22,144) dan selebihnya di 32 provinsi lain.

Provinsi Jawa Timur turut mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,719 orang diikuti Jakarta (844), Jawa Tengah (655), Sulawesi Selatan (321) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

– BERNAMA


Pengarang :