Proses sanitasi dijalankan di Klinik Kesihatan Napoh di Jitra, Kedah yang menjadi pusat saringan Covid-19 berikutan terdapat kluster baharu di kawasan tersebut ketika tinjauan pada 6 Ogos 2020. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Covid-19: Patuhi SOP untuk elak ancaman mutasi, kluster baharu

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 15 Ogos hingga pukul 12:30 tengah hari 21 Ogos.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka sembilan (9) ribu sementara di peringkat global, ia sudah mencatat lebih 22 juta dengan hampir 800,000 kematian. Seramai lebih 15 juta orang pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Sepanjang minggu rangkuman, berita paling mencemaskan sudah tentu tentang penemuan strain virus yang mengalami mutasi, D614G, dan kluster baharu, Tawar, yang sedang merebak di utara tanah air.

Dilaporkan, D614G boleh menyebabkan jangkitan Covid-19, 10 kali ganda lebih pantas dan antara bukti mutasi ini ialah yang berlaku dalam kes kluster PUI Sivagangga.

Kluster tersebut mula dilaporkan pada 28 Julai dan menjelang 6 Ogos, sebanyak 43 kes positif Covid-19 daripada kluster tersebut dikesan. Sehingga 11 Ogos, jumlah kes daripada kluster ini adalah 45.

Di sebalik kebimbangan itu, berita yang pastinya melegakan ialah tiada penularan kes dalam negeri dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 20 Ogos.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia, lima kes baharu yang diumumkan adalah kes import.

Ketua Polis Perlis SAC Datuk Surina Saad dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Daerah Sanglang. Foto: BERNAMA

Kes melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan tiga (3) bukan warganegara. Kes-kes tersebut adalah Jepun ( 4 kes di Sarawak); dan Bangladesh (1 kes di Selangor).

Empat (4) kes di Sarawak dirujuk sebagai Kluster Alam yang disifatkan terpencil, yang dikenalpasti di sebuah kapal di Bintulu, Sarawak, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun.

Dengan lima (5) kes baharu ini, kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 9,240 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 183 kes.

Tujuh (7) orang pesakit Covid-19 pulih sehingga Khamis 20 Ogos, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,932 ( 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Terdapat tujuh (7) kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan empat daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan setakat Khamis 20 Ogos. Dengan itu, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes (1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

Mutasi virus mengganas

Perihal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesan mutasi jenis D614G hasil ujian pengasingan dan kultur Covid-19 daripada kes kluster Sivagangga dan kluster Ulu Tiram diumumkan oleh Dr Noor Hisham pada Ahad 16 Ogos.

Ujian IMR melibatkan tiga kes daripada kluster Sivagangga yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks dan satu kes kluster Ulu Tiram yang merupakan individu daripada Filipina.

Meskipun setakat ini keadaan masih terkawal, masyarakat diingatkan perlu berhati-hati kerana mutasi D614G adalah 10 kali ganda lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu super spreader.

Pengawal keselamatan memasang tali perentang di pintu masuk Medan Niaga Satok, Sarawak yang ditutup selama sehari kepada orang ramai pada 29 Julai 2020 untuk mencegah penularan Covid-19. Foto BERNAMA

“Setakat ini kedua-dua kluster berkenaan didapati agak terkawal hasil pelbagai tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas di lapangan. Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes yang lain, termasuk bagi kes indeks bagi kedua-dua kluster ini.

“Pun begitu, ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini telah terbukti dikesan di Malaysia,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Ahad 16 Ogos.

Tidak patuh SOP punca kluster baharu

“Patuh SOP. Elakkan 3S/3C dan amalkan 3W.” Setiap kali muncul berkongsi perkembangan terkini Covid-19, Dr Noor Hisham pasti mengulangi ungkapan ini.

Dr Noor Hisham pada 18 Ogos menyentuh tentang Ketidakpatuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) dengan rujukan kepada kluster Tawar dan kluster Sala.

Penularan jangkitan dalam kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi SOP. Misalnya, kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat di antara satu sama lain.

Kluster Tawar diumumkan Dr Noor Hisham pada Khamis 13 Ogos dan kes pertama dikesan di Mukim Tawar, Kedah, melibatkan seorang peniaga lelaki warganegara Malaysia yang menghadiri upacara keagamaan.

Setakat 19 Ogos, 55 kes positif Covid-19 dikesan dalam kluster ini (44 kes di Kedah dan 11 kes di Pulau Pinang), dan dilaporkan kluster terbesar mengatasi kluster PUI Sivagangga. Di Kedah, seramai 343 individu masih menunggu keputusan saringan sementara di Pulau Pinang, 14 individu masih menunggu keputusan.

Bagi kluster Sala pula, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau. Kesemua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit tersebut dikesan positif.

Setakat 19 Ogos, 11 kes dikesan positif di Kedah sementara 157 individu masih menunggu keputusan saringan.

WHO dan situasi global

Gerak balas (response) terhadap pandemik Covid-19 perlu dibuat secara kolektif, meskipun menjadi hasrat untuk pemimpin sesebuah negara untuk melindungi rakyatnya dahulu.

“Ini bukan soal kerja amal. Cara terbaik untuk menamatkan pandemik dan untuk membuka semula ekonomi ialah dengan mula melindungi penduduk berisiko tinggi di merata dunia, daripada hanya bertumpu kepada penduduk sesetengah negara.

“Berkongsi bekalan secara strategik dan global sebenarnya adalah untuk kepentingan nasional setiap buah negara. Tiada yang selamat sehingga semua selamat, ” kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media dari Geneva, Switzerland pada 18 Ogos lepas.

Menurut beliau, tidak ada sebuah negara yang mempunyai akses kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengilangan dan semua rangkaian bekalan untuk semua ubat-ubatan dan bahan keperluan.

Dengan bekerjasama, tambah beliau, semua pekerja yang penting boleh dilindungi dan rawatan yang sudah terbukti seperti dexamethasone boleh diperolehi bagi mereka yang memerlukan.

“Mengenai PPE (Peralatan Perlindungan Diri/Personal Protective Equipment) serta ujian, kerjasama antara sektor awam dan swasta bererti bekalan ditingkatkan bagi memastikan penggunaan barangan yang adil dan saksama.

Pengawal keselamatan memeriksa suhu badan pengunjung pusat beli-belah di Bangkok pada 4 Februari 2020. Foto AFP

“Apabila diagnostik, ubat-ubatan serta vaksin baharu dihasilkan, adalah kritikal tidak ada negara mengulangi kesilapan. Kita perlu mengelakkan nasionalisme vaksin (vaccine nationalism).

“Atas sebab ini, WHO berganding bahu dengan kerajaan serta sektor swasta untuk mempercepatkan sains, menerusi ACT-Accelerator, bagi memastikan inovasi baharu dapat dperolehi semua orang, di mana jua, bermula dengan kumpulan berisiko tinggi, ” kata Dr Tedros.

Statistik global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 22,860,184 ( rangkuman minggu lalu 21,092,417 kes) dengan 797,105 kematian (minggu lalu 757,738 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 15,515,681 orang (minggu lalu 13,944,529 orang).

Amerika Syarikat masih di tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak Covid-19 dengan 5,746,272 kes (minggu lalu 5,415,977 kes) dengan 177,424 kematian (minggu lalu 170,419 kematian). Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Januari.

Jumlah kes Covid-19 turut meningkat di Brazil yang kekal di tangga kedua iaitu 3,505,097 kes (minggu lalu 3,229,621 kes) dengan 112,423 kematian (minggu lalu 105,564 kematian).

Tempat ketiga, India, 2,904,329 kes (minggu lalu 2,464,316 kes) dengan 54,975 kematian ( minggu lalu 48,177 kematian), sementara Rusia merekod 942,106 kes (minggu lalu 912,823 kes) dengan 16,099 kematian (minggu lalu 15,498 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 24 buah negara (minggu lalu 22 buah negara) yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19, seperti berikut:-

Perkhidmatan bas dan kereta api ditutup sebahagiannya susulan keputusan kerajaan Britain mengharamkan semua perjalanan tidak penting. Foto: SKYNEWS

Afrika Selatan 599,940 kes (kematian 12,618), Peru 567,059 kes (kematian 27,034), Mexico 543,806 kes (kematian 59,106), Colombia 513,719 kes (kematian 16,183), Sepanyol 404,229 (kematian 28,813), Chile 391,849 (kematian 10,671), Iran 352,558 kes (kematian 20,264), United Kingdom 322,280 kes (kematian 41,403), Argentina 320,884 kes (kematian 6,517), Arab Saudi 303,973 kes (kematian 3,548), Pakistan 290,958 kes (kematian 6,209), Bangladesh 287,959 kes (kematian 3,822), Itali 256,118 kes (kematian 35,418), Turki 254,520 kes (kematian 6,058), Jerman 231,284 kes (kematian 9,324), Iraq 192,797 kes (kematian 6,208), Filipina 178,022 kes (kematian 2,883), Indonesia 147,211 kes (kematian 6,418), Kanada 123,873 kes (kematian 9,054), Qatar 116,224 kes (193 kematian), Bolivia 106,065 kes (kematian 4,305), Equador 105,508 kes (kematian 6,146) dan Kazakhstan 104,071 kes (kematian 1,415).

Sementara China di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-34 dengan 84,917 kes (minggu lalu 84,786 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Filipina dan Indonesia menyertai senarai negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Minggu ini Filipina merekod 178,022 kes (minggu lalu 153,660 kes) dengan 2,883 kematian (minggu lalu 2,442 kematian ) sementara Indonesia mencatat 147,211 kes (minggu lalu 135,123 kes ) dengan 6,418 kematian ( minggu lalu 6,021 kematian).

Singapura pula merekodkan 56,099 kes ( minggu lalu 55,580 kes), dan angka kematian kekal 27). Ini diikuti oleh Thailand dengan 3,389 kes (minggu lalu 3,376 kes ) dan angka kematian kekal 58.

Kes Covid-19 di Vietnam meningkat kepada 1,007 kes (minggu lalu 911 kes) dengan angka kematian 25, berbanding 21 minggu lalu.

Myanmar mencatat 399 kes berbanding 369 kes minggu lalu dan angka kematian kekal 6 dan Kampuchea mencatat 273 kes dan tiada kematian. Sementara itu, tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos mencatat 22 kes (minggu lalu 20 kes) dan sifar kematian.


Pengarang :