Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Selangor catat dua kes baharu, jumlah semua 2,155

SHAH ALAM, 23 OGOS: Selangor merekodkan dua kes baharu Covid-19 hari ini membabitkan pengembara bukan warganegara dari Indonesia, maklum Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Agensi itu berkata jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 2,155 dengan dua kes aktif.

“Esok akan bermula hari bekerja bagi kebanyakan warga Selangor dan pastikan rutin norma baharu sentiasa dijaga seperti penjarakan fizikal, basuh tangan secara kerap dan pakai pelitup muka.

“(Pastikan) sentiasa mendaftarkan pengunjung yang masuk ke dalam pejabat dengan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat). Jadikan ia sebagai rutin dan vaksin untuk Covid-19,” katanya di Facebook.

Sementara itu, dua daerah masih diklasifikasikan sebagai zon kuning susulan terdapat satu kes aktif masing-masing di Hulu Langat (mukim Cheras) dan Gombak (mukim Hulu Kelang).

Hari ini, Malaysia merekodkan 10 kes baharu Covid-19 melibatkan lapan kes import dan selebihnya penularan tempatan.


Pengarang :