Foto: Facebook Dr Noor Hisham
AGENDANASIONAL

Covid-19: tiga kes import, 23 penularan tempatan

SHAH ALAM, 15 OGOS: Sebanyak 26 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan tiga kes import dan 23 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penularan tempatan membabitkan warganegara dan warga asing direkodkan di enam negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perlis dan Negeri Sembilan.

“Tiga kes import jangkitan daripada luar negara itu membabitkan dua warganegara dan satu bukan warganegara dari Austria, Amerika Syarikat serta Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, Kedah merekodkan 14 kes baharu iaitu 10 dari kluster Tawar, satu kluster Muda dan kluster baharu yang dinamakan kluster Sala dengan tiga kes.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan dua kes baharu masing-masing satu hasil saringan tempat kerja dan saringan kontak rapat kes positif ke-8,688.

“Dua kes baharu di Pulau Pinang pula saringan kluster Tawar iaitu kontak rapat kes positif ke-9,113 manakala di Johor dan Perlis masing-masing satu kes membabitkan saringan prapembedahan,” katanya.

 


Pengarang :