Cyberjaya
AGENDAEKONOMINASIONAL

Cyberview galakkan syarikat teknologi melabur di Cyberjaya

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Pemaju hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd menggalakkan syarikat teknologi tempatan dan asing melabur di Cyberjaya berikutan ekosistem teknologinya yang membenarkan syarikat menumpukan perkhidmatan dan kandungan mereka di peringkat tempatan, sekali gus mengembangkan perniagaan.

Ketua perniagaan, bandar dan komunikasinya, Roni Shah Mustapha berkata pusat pelaburan dan perkhidmatan Cyberjaya (CISC) oleh Cyberview merupakan pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan kemudahan perniagaan dan pelaburan di bawah satu bumbung.

CISC menawarkan perkhidmatan seperti kemudahan menubuhkan perniagaan, visa pekerjaan dan kemudahan tenaga kerja.

“Kami menyasarkan untuk mengubah bandar pintar ini kepada hab pelaburan teknologi pilihan yang dilengkapi sumber, infrastruktur, pekerja yang berpengetahuan dan pelbagai perkhidmatan lain.

“Pelbagai insiatif disediakan untuk membangunkan industri teknologi, memenuhi keperluan pelabur dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi pada masa ini dan akan datang,” katanya dalam webinar Cyberview secara langsung hari ini bertajuk: Pelan Induk Baharu Cyberview: Memacu Pertumbuhan untuk Hab Teknologi Global.

Roni Shah berkata Pelan Induk Cyberjaya yang dilancarkan baru-baru ini, turut memberi tumpuan bagi menubuhkan ekosistem teknologi holistik yang merangkumi aktiviti-aktiviti komersial dan digital.

Cyberjaya terbahagi kepada empat zon — North Cyberjaya, West Cyberjaya, South Cyberjaya dan Pusat Bandar Cyberjaya yang menumpukan kepada tiga kluster teknologi baharu iaitu Mobiliti Pintar, Penjagaan Kesihatan Pintar dan Kreatif Digital.

“Daerah-daerah ini akan mendorong Cyberjaya sebagai pusat bagi inovasi teknologi dengan menyediakan platform kepada pencipta dan pereka baru untuk memperkenalkan perniagaan mereka serta mewujudkan ekosistem yang menggalakkan sinergi di antara syarikat daripada industri yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata West Cyerberjaya adalah pusat melahirkan tenaga kerja mahir, North Cyberjaya menumpukan kepada penyelesaian bandar pintar dan South Cyberjaya pula adalah pusat bagi inovasi untuk kesemua tiga kluster itu.

Pusat bandar Cyberjaya menumpukan kepada penggunaan teknologi bagi aktiviti komersial dan penyepaduan ke dalam gaya hidup masyarakat.

Menurutnya, peranan Cyberview sebagai pemaju hab teknologi membolehkan teknologi baharu dibangunkan, diuji dan menjadi perintis di Cyberjaya.

“Kami menggalakkan akses dan pelaksanaan teknologi yang meluas dalam kalangan masyarakat di Cyberjaya sejajar dengan halatuju bandar pintar ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :