Pro-Canselor UiTM Tun Dr Arshad Ayub ketika temu ramah esklusif bersama Bernama di kediamannya di Seksyen 7 baru-baru ini. Foto: BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari nasi ke roti, Tun Arshad lahirkan profesional Melayu

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sekitar 53 tahun lalu, pernah timbul cadangan pelik daripada pemikiran arkitek profesional Melayu, Tun Dr Arshad Ayub dalam usaha melahirkan ramai generasi profesional Melayu dan bumiputera dari Institut Teknologi Mara atau ITM (kini Universiti Teknologi Mara-UiTM) – iaitu menukar diet pemakanan daripada nasi kepada roti.

Idea itu lahir daripada pemikiran Arshad, 92, ketika beliau menjadi pengasas dan pengarah pertama ITM dari 1967 hingga 1975. Sejujurnya, penulis juga tertanya-tanya apa kaitan menukar diet pemakanan daripada nasi kepada roti sandwic dengan proses pendidikan untuk melahirkan profesional Melayu dan bumiputera.

Arshad menjelaskan beliau menukar diet makan tengah hari pelajar ITM daripada hidangan nasi kepada sandwic ketika itu, bertujuan menjimatkan masa pelajar yang terpaksa beratur lama setiap kali tiba waktu makan.

“Beratur lama dekat sejam untuk makan. Jadi masa makan tengah hari, kita bagi sandwic ganti nasi. Sandwic ini pun boleh makan di mana-mana, lebih senang berbanding makan nasi. Makan mustahak tetapi masa untuk belajar itu lebih mustahak.

“Kita makan untuk apa? untuk kenyang bukan? Kenapa tak boleh kurangkan makan (nasi)? Yang penting nilai makanan (untuk kenyang). (Sebelum itu) makan daging dengan nasi, bezanya ganti dengan roti (sandwic),” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Seksyen 7, tidak jauh dari kampus induk UiTM, baru-baru ini.

Di sebalik justifikasi penjimatan masa, ramai gagal memahami falsafah pemikiran Arshad di sebalik penukaran diet itu adalah demi membantu anak orang Melayu yang berasal daripada keluarga nelayan, penoreh getah atau pekebun, agar mengutamakan pendidikan bagi menjadi golongan profesional.

Malah ketika itu, pelajar majoritinya dari kampung dan tidak mendapat tempat di universiti, turut berdepan isu lain seperti tiada tempat tinggal, bilik kuliah yang terhad di Jalan Othman, Petaling Jaya selain isu Jabatan Perkhidmatan Awam, tidak mengiktiraf diploma daripada ITM.

“Tugas saya ketika itu adalah mencari pelajar yang tidak dapat peluang masuk universiti. Saya kena cari jalan lain untuk memberi peluang kepada orang Melayu kerana kalau harapkan universiti (ketika itu hanya ada Universiti Malaya),” kata Arshad yang dilahirkan pada 1928 di Parit Keroma, Muar, Johor.

Arshad yang juga Pro-Canselor UiTM, adalah pengasas dan Pengetua Kolej Perniagaan dan Profesional Mara (asalnya Dewan Latihan Rida) pada 1965 yang kemudian berkembang menjadi UiTM, gedung modal insan terunggul Bumiputera di Malaysia.

Arshad yang pernah mengemudi tiga kementerian selaku ketua setiausaha dan terbabit dengan agenda perancangan negara khususnya selepas era kemerdekaan (agenda pembangunan Arshad menjadi teras pentadbiran Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak) mempunyai pemikiran yang merentasi zamannya.

Ini dibuktikan dengan pendirian tegasnya untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di ITM ketika kebangkitan nasionalisme untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi pada sekitar 70-an.

“Saya kekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sungguhpun tukar bahasa pengantar (bahasa Melayu) di sekolah, kita bagi peluang sama (kepada calon pelajar ITM). Kalau ada SPM boleh masuk (ITM) tapi kena belajar bahasa Inggeris selama enam bulan,” kata Arshad.

Namun, pemikiran Arshad melampaui zaman kerana bukan sahaja mahukan pelajar berkemahiran dwibahasa, malah tribahasa dengan mewajibkan anak-anak Bumiputera mempelajari subjek bahasa Mandarin, Tamil atau Jepun bagi tahun pertama dan kedua pengajian di ITM, selain pembelajaran wajib bahasa ketiga (Jerman, Perancis atau Rusia) pada tahun dua dan tahun tiga pengajian.

“Ini apa yang saya anggap sebagai ‘kekayaan’ yang didedahkan kepada generasi pada ketika itu,” kata Arshad yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit Keroma dan Sekolah Inggeris Kerajaan di Muar, Johor ketika ditanya mengenai kejayaannya merealisasikan matlamat pendidikan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sepanjang lebih sejam temu bual di kediamannya itu, penulis berasa amat selesa berbual dengan Arshad yang masih jelas tutur katanya, selain mempunyai daya ingatan dan ketajaman pemikiran sekalipun usianya melepasi sembilan dekad.

Ditanya mengenai kemerdekaan negara, Arshad menyifatkan pengalaman berada dalam zaman penjajahan Inggeris, keperitan di zaman Jepun sehingga hanya memakan ubi kayu dan hidup di dalam ketakutan, zaman kolonial hinggalah ke zaman merdeka serta pendedahannya ketika belajar di United Kingdom (UK) dan Switzerland, membentuk pandangan beliau bahawa kemerdekaan hanya boleh dicapai dengan memerdekakan pemikiran seseorang.

“Pada saya merdekakan dulu pemikiran kita. Tambah nilai kehidupan kita. Sentiasa tambah kebolehan dan pemikiran yang positif. Contohnya (untuk remaja) umur 18 tahun, apa yang mustahak adalah kuasa mengundi. Bukan hanya bercakap, mengumpat orang, tidak patriotik tetapi menambah ilmu dengan positif,” katanya yang turut percaya kelayakan profesional adalah lebih penting daripada kelayakan akademik.

“Apa guna ada PhD (ijazah Doktor Falsafah) perakaunan tetapi tiada ACCA (kelayakan profesional bagi bidang perakaunan) dan tidak boleh tanda tangan (mengesahkan) dokumen. (Kena ubah pemikiran kita) mesti ambil kelayakan profesional,” tegas Arshad menyifatkan mentaliti penumpuan kepada kelayakan akademik tanpa kelayakan profesional sebagai kelemahan pemikiran yang perlu diatasi orang Melayu dulu dan sekarang.

Ketika negara merdeka pada 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, Arshad yang pernah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Gaji Harun dan Timbalan Gabenor Bank Negara, berada di luar negara, di Universiti College of Wales, Aberystwyth, UK (1954-1958) dan IMD Business School, Lausanne, Switzerland (1963) untuk melanjutkan pengajiannya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun kepada Tan Sri Dr Arshad Ayub. Foto: BERNAMA

Arshad yang akan genap usia 92 tahun pada 15 Nov depan adalah penerima darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya pada 17 Ogos lalu.

Apa yang menarik, Arshad berkata beliau menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri, 40 tahun lalu daripada ayahanda Al-Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 1980.

“Saya juga hadir pada majlis perkahwinan Seri Paduka Baginda (Yang di-Pertuan Agong) dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” kata Arshad yang bersyukur dengan penganugerahan gelaran tertinggi negara itu.

-BERNAMA


Pengarang :