PBTSELANGOR

Draf RKK Bandar Malawati dilanjut sehingga 7 September

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mempelawa orang ramai memberi pandangan berhubung draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Malawati 2025 yang dilanjutkan sehingga 7 September.

MDKS berkata pandangan masyarakat setempat penting bagi memastikan pembangunan dirancang menepati kehendak golongan tersebut selaras matlamat pembangunan lestari dan komuniti mampan.

“MDKS melanjutkan tempoh maklum balas RKK Bukit Malawati selepas menerima permintaan penduduk dan agensi berkaitan. Keputusan ini selaras dengan subseksyen 13(3), Akta 172 yang membenarkan pihak berkuasa perancang tempatan melanjutkan program tersebut dalam tempoh tidak lebih empat minggu selepas majlis perasmian pada 4 Ogos.

“RKK Bandar Malawati mencadangkan sebanyak 52 projek termasuk projek pembangunan, naik taraf, pengindahan dan pelbagai program lain di sekitar Bukit Malawati serta Pekan Lama Kuala Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

MDKS berkata orang ramai boleh memberi pandangan, cadangan dan maklum balas dengan memuat turun aplikasi menerusi Google Play iaitu rkkbmks(https://play.google.com/store/apps/details?id=com.nadiimpak.drafrkkbmks2025) atau mengisi borang cadangan di https://forms.gle/6EXDydHtxFBiY1B4A bagi pengguna iPhone.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata RKK Bandar Malawati Kuala Selangor 2025 meliputi pembangunan 11 projek berimpak tinggi, 24 projek sokongan dan 17 projek jangka pendek.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berimpak besar memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran perbandaran kondusif bagi ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan dan sejarah serta pelancongan berasaskan komuniti.


Pengarang :