Anggota polis dari IPD Kangar melakukan Sekatan Jalan Raya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar di daerah Sanglang bermula malam 8 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua kampung di Perlis kena PKPD bersasar

KANGAR, 9 OGOS: Kerajaan Perlis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar (Temco) selama 28 hari bermula malam tadi di dua kampung di Kuala Sanglang.

Keputusan itu yang melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 10 malam tadi hingga 4 September.

Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu kenyataan berkata pelaksanaan Temco dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Penduduk diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Temco akan mengguna pakai prosedur operasi standard PKP Pemulihan sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Orang awam yang berada di luar kawasan Temco tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Penduduk di kedua-dua kampung juga diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut kerajaan negeri prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung yang terlibat.

-BERNAMA


Pengarang :