Ketua Polis Perlis SAC Datuk Surina Saad dengan bantuan pegawainya melakukan pemantauan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Daerah Sanglang. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua kawasan di Perlis dikenakan PKPD pentadbiran – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) bermula dari hari ini hingga 31 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan Temco itu melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

“Pelaksanaan Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya. Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan Temco adalah dilarang,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu Covid-19 di Perlis berasal daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Ismail Sabri berkata premis perniagaan di bawah perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Temco dan masa operasi dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

Selain itu katanya pergerakan di dalam kawasan Temco adalah dibenarkan dan bekalan makanan dibenarkan dibawa masuk ke kedai runcit yang berada di dalam kawasan terlibat.

Menurutnya lagi semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan berkenaan juga ditutup dan semua aktiviti keagamaan di masjid-masjid dihadkan secara bersyarat manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Petugas KKM akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan Temco,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat sedikit kekeliruan apabila terdapat kerajaan negeri mengumumkan mengenai melaksanakan Temco di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Oleh itu beliau mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

“Kesan daripada kerajaan negeri melaksanakan sendiri peraturan tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, akta tersebut tak boleh dikuatkuasakan dan polis tak boleh ambil tindakan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau memberi contoh Kerajaan Negeri Sabah yang mengumumkan perhimpunan ramai tidak boleh melebihi 150 orang sedangkan ia menyalahi peraturan di bawah Akta 342 yang membenarkan perhimpunan ramai tidak lebih 250 orang.

Beliau berharap agar kekeliruan tersebut tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :