Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto SUMBER KKM
AGENDANASIONAL

Dua kes kluster PUI Sivagangga babit pelajar sekolah

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan dua daripada 11 kes kluster PUI Sivagangga dilaporkan positif Covid-19 hari ini merupakan pelajar sekolah rendah.

Ketua pengarah kesihatan berkata pelajar tahun satu dan empat itu mendapat jangkitan dari generasi pertama kluster berkenaan yang dikesan di Kedah.

“Kes ke-8975 menyebabkan lapan kontak rapatnya positif manakala tiga kes lagi mendapat jangkitan dari kes ke-8976.

“Semua dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan. Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif dan pembersihan nyahkuman di sekolah serta rumah mangsa sedang dilaksanakan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga 12 tengah hari tadi seramai 313 individu sudah disaring dengan 20 disahkan positif, 280 negatif manakala 13 masih menunggu keputusan.

“Semua 20 kes adalah aktif namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi(ICU). Jumlah ini membabitkan 15 warganegara dan lima lagi warga asing,” katanya.

Hari ini 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan keseluruhan sebanyak 8,999 kes.


Pengarang :