Penduduk DUN Subang Jaya menunjukkan rantai kunci ‘Saya Anak Malaysia’ yang diagihkan ADN Michelle Ng Mei Sze. Foto: ADN Subang Jaya
ADNSELANGOR

DUN Subang Jaya edar 2,800 rantai kunci ‘Saya Anak Malaysia’

SHAH ALAM, 28 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya mengedar 2,800 rantai kunci ‘Saya Anak Malaysia’ kepada penduduk sekitar sempena Hari Kebangsaan ke-63.

Ahli Dewan Negerinya, Michelle Ng Mei Sze berkata pendekatan itu diambil berbanding mengagih Jalur Gemilang kerana ia lebih berfungsi dan tahan lama.

“Tahun lalu kita mengedarkan Bendera Malaysia tetapi selepas tamat hari kemerdekaan, orang mula tidak membawanya atau mungkin dibiarkan ia lusuh begitu sahaja.

“Justeru, saya berfikir untuk cipta kelainan dengan memberikan rantai kunci yang lebih berfungsi dan penerima boleh bawanya ke mana sahaja dengan meletakkan ia di kunci atau beg,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rantai kunci ‘Saya Anak Malaysia’.

Sempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut 31 Ogos ini, beliau menasihatkan orang ramai terutama anak muda untuk fahami erti kemerdekaan dan sentiasa bersatu tidak kira bangsa.

Michelle juga berkata orang ramai yang mahu menebus rantai kunci istimewa itu boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN terbabit yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang.


Pengarang :