Selangorkini
Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

E-dapur ‘selamatkan’ peniaga, bangkit selepas rugi

SHAH ALAM, 14 OGOS: Inisiatif e-dapur membantu peniaga meraih semula pendapatan selepas hampir tiga bulan menanggung rugi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengusaha teh ais madu Mohd Hairi Mohd Amin berkata pendapatannya mencecah antara RM1,100 hingga RM1,900 sehari sejak menyertai program yang diperkenalkan April lalu.

“Ketika pelaksanaan PKP saya tidak boleh membuka gerai dan keadaan ini memberi kesan amat besar kepada kehidupan saya tetapi syukur e-dapur banyak membantu memulihkan perniagaan,” katanya melalui video di laman sesawang amirudinshari.com

Pengalaman sama dikongsi Mohd Saiful Abdullah apabila restorannya hampir lingkup selepas tidak berniaga selama beberapa bulan.

“Inisiatif Kerajaan Negeri memberi nafas baharu kepada saya dan kini pendapatan harian konsisten antara RM800 hingga RM900 sehari,” katanya.

Bagi Mohd Izzudin, pendapatannya menjual ‘sambal chips’ semakin baik sejak menyertai program tersebut malah pernah meraih pendapatan mencecah RM1,500 sehari.

E-dapur yang dilaksana melalui Platform Selangor dan Grab bermula 18 April lalu meraih nilai jualan RM1.52 juta dalam tempoh sebulan dan bakal diteruskan dengan sasaran 1,000 usahawan.

Inisiatif itu diperluaskan kepada khidmat barangan runcit, restoran, farmasi dan produk usahawan.


Pengarang :