Orang ramai mematuhi arahan Kerajaan dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di sekitar Dataran Putrajaya pada 1 Ogos 2020. Kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup separuh muka jika berada di tempat awam dan sesak untuk mencegah penularan Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak gelombang tsunami Covid-19 lebih dahsyat, patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 OGOS: Rakyat perlu mengambil iktibar daripada negara lain supaya dapat mencegah gelombang tsunami Covid-19 yang lebih dahsyat lagi, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata perangkaan tiga negara iaitu Australia, Hong Kong dan Jepun mengalami lonjakan drastik kes Covid-19 sejak Jun lalu walaupun berjaya mencatat penurunan ketara sebelum itu.

Katanya gelombang kedua penularan di negara terbabit menyaksikan peningkatan kes yang lebih tinggi berbanding Mac lalu.

Dr Noor Hisham berkata beliau bimbang keadaan sedemikian melanda negara ini jika masyarakat mengabaikan pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP).

“Inilah kebimbangan saya dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk patuh kepada penjarakan selamat, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup muka. Kurangkan berada di tempat awam dan duduk di rumah lebih selamat.

“Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita. Kita jaga masyarakat dan negara kita,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, malam tadi.


Pengarang :