Antara longgokan kayu jaras bakau yang disita berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah pada 23 Ogos lalu. Foto: JPNS
AGENDAEXCOSELANGOR

Empat lelaki ditahan ambil kayu bakau tanpa kebenaran

SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan empat lelaki yang didakwa mengambil hasil hutan kayu bakau berhampiran Sungai Kembung, Pulau Indah pada 23 Ogos lalu.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata operasi yang turut disertai Pasukan Gerak Am (PGA) Pulau Carey turut menyita sampan fiber, enjin sangkut, 200 batang kayu jaras bakau dan tiga motosikal.

“Lebih kurang jam 9.00 malam, pasukan berjaya menahan empat lelaki yang memunggah kayu jaras bakau daripada sampan ke tebing sungai. Mereka telah dibawa ke Balai Polis Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 84(1) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau kedua-duanya.

“Manakala kayu jaras bakau yang disita disimpan sementara di Pejabat Renj Hutan Pelabuhan Klang sebelum proses lelongan dijalankan.”


Pengarang :