Penduduk kampung dan ahli keluarga membantu menurunkan jenazah tujuh sekeluarga maut yang terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Keramat Pulai Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands petang semalam, tiba dan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah Serdang pada 12 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enam mangsa kemalangan Simpang Pulai dikebumi satu liang lahad

KULIM, 12 OGOS: Jenazah enam sekeluarga mangsa nahas jalan raya di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, Perak, petang semalam selamat dikebumi di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah, Serdang, di sini, lewat petang tadi.

Mereka ialah Fatimah Mat Isa, 68, anak lelakinya Mohd Zairul Mat Isa, 34, isteri Mohd Zairul, Nur Atiqah Abdul Hamid, 30, seorang anak mereka Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4, anak saudara Fatimah iaitu Hasliza Mahmud, 40, serta anak Hasliza, Mohd Alif Firdaus, 3.

Kesemua jenazah tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 6.10 petang dan dibawa menggunakan lima van jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, terus ke tanah perkuburan untuk disembahyangkan di luar perkarangan tanah perkuburan sebelum dikebumikan.

Enam jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 7.30 petang tadi manakala difahamkan, satu lagi jenazah iaitu suami kepada Hasliza, Zulkifli Shuib, 41, dibawa ke Hospital Kulim untuk dituntut ahli keluarganya.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang semalam, tujuh daripada 10 sekeluarga yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands.

Siasatan awal polis mendapati MPV yang dipandu Mohd Zairul dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

-BERNAMA


Pengarang :