Pelitup muka diwajibkan di tempat awam bagi menangani penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Exco bimbang pelitup muka terbuang sekat sistem saliran

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tindakan membuang pelitup muka merata tempat dibimbangi menjadi punca sekatan sistem saliran, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan pelitup muka sepatutnya dibungkus rapi dan dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Sebelum ini plastik menjadi punca utama sampah yang menyebabkan sistem saliran tersekat dan kita bimbang pelitup muka akan menggantikan plastik pula.

“Seperti sampah-sampah yang lain, ia perlu dibuang ke tempat sepatutnya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga menyaran orang awam menyimpan pelitup muka terpakai dalam beg khas sebelum dibuang, selain menggalakkan penggunaan pelitup muka guna semula.

Bermula 1 Ogos lalu, Majlis Keselamatan Negara mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika berada di tempat sesak dan pengangkutan awam.


Pengarang :