Hee Loy Sian berucap ketika Majlis Sarapan Merdeka Bersama Orang Asli Ulu Kuang di Rawang pada 23 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Fokus selesai penempatan, kemudahan Orang Asli

KUANG, 23 OGOS: Isu penempatan di 74 perkampungan Orang Asli diberi tumpuan tahun hadapan bagi memastikan kawasan didiami mendapat status pemilikan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata beberapa penempatan kaum minoriti tersebut bertindih dengan tanah kerajaan dan hutan simpan.

“Hendak selesai bukan senang sebab isu lama. Jadi saya akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor supaya kampung Orang Asli dapat diwarta,” kata Hee Loy Sian pada Majlis Sarapan Merdeka di Kampung Orang Asli Ulu Kuang hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan membangunkan projek lampu solar di kampung yang masih menggunakan generator bagi mendapat bekalan elektrik.

“Banyak (kampung) sudah ada elektrik tetapi lampu jalan dan padang mereka gelap, justeru kita buat berperingkat tahun hadapan. Isu jalan rosak juga akan diselesaikan,” katanya berharap peruntukan untuk Orang Asli ditambah dalam Belanjawan 2021.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan modal insan dan kebajikan Orang Asli seperti baik pulih rumah, pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi.


Pengarang :