Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga, kiri) bergambar kenangan selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian lanjutan usahasama bagi tempoh 2021 hingga 2023 antara FAM dan Malaysia Airlines Berhad sempena Kongres Tahunan FAM ke-56 pada 29 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

FAM terus terbang tinggi bersama Malaysia Airlines

PETALING JAYA, 29 OGOS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini menandatangani perjanjian lanjutan usaha sama bagi tempoh 2021 hingga 2023 yang menyaksikan syarikat penerbangan itu kekal sebagai rakan penerbangan rasmi skuad Harimau Malaya.

Perjanjian itu, yang ditandatangani antara Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB Lau Yin May, adalah kesinambungan perjanjian selama dua tahun sebelum ini yang berakhir Disember ini

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata lanjutan perjanjian itu menjadi isyarat hubungan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak meskipun pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2020 terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines yang mana mereka tetap mahukan kerjasama yang terjalin selama dua tahun sebelum ini diteruskan lagi bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.

“Bagi saya, kerjasama di antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita, Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-56 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kapten Izham Ismail berkata pihaknya teruja untuk memulakan babak seterusnya dalam kerjasama antara skuad bola sepak negara dengan syarikat penerbangan kebangsaan.

“Disiplin dan komitmen pasukan Harimau Malaya mencerminkan keazaman kami dan seluruh rakyat Malaysia untuk turut berjuang mengharumkan nama negara melalui apa saja bidang yang diceburi tidak kira bangsa, usia dan jantina.

“Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha dan terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :