FAS Soccer Schools dianugerahkan Piagam SupaRimau berstatus emas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 17 Ogos 2020. Foto: Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

FAS Soccer Schools terima anugerah emas Piagam SupaRimau

SHAH ALAM, 19 OGOS: Program pembangunan bola sepak akar umbi Selangor, FAS Soccer Schools dianugerahkan Piagam SupaRimau berstatus emas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Isnin lalu.

Pengelola program itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata pengiktirafan berkenaan menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk pihaknya terus membangunkan sukan nombor satu terbabit.

“Usaha FAM melancarkan program Piagam SupaRimau ini selayaknya diberi pujian. Bukan sahaja menjadi penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada malah turut mewujudkan ekosistem bola sepak lebih sistematik dan dinamik.

“Piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi sekali gus membawa ke tahap lebih tinggi, sistematik dan memberi manfaat kepada komuniti bola sepak. Kita jangka anugerah piagam banyak diterima di Selangor susulan beberapa akademi di negeri ini tertarik untuk sertai program itu,” katanya di Facebook pada Isnin lalu.

FAS Soccer Schools dilancarkan tahun lalu menjadi akademi kedua menerima anugerah terbabit selepas Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemarkahan dibuat berdasarkan lima kriteria khas iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.


Pengarang :