Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Firma jangka OPR turun selepas BNM semak unjuran KDNK

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Penyelidikan oleh bank pelaburan dan firma pembrokeran saham hari ini menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 namun menaikkan jangkaan mereka bagi KDNK 2021.

Ia selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak turun unjuran pertumbuhan 2020 kepada di antara -5.5 peratus dengan -3.5 peratus daripada -2.0 peratus hingga 0.5 peratus sebelumnya, untuk menunjukkan terutama kesan pandemik Covid-19 yang amat buruk.

KDNK Malaysia menguncup 17.1 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2020 (berkembang 0.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020), lebih rendah daripada penguncupan 11.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 1998.

Kenanga Investment Bank menerusi nota penyelidikan hari ini berkata penguncupan KDNK lebih ketara berbanding jangkaan dan tertinggi pada suku kedua 2020 yang dicatatkan sektor utama (perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan) menunjukkan risiko terhadap pemulihan pertumbuhan dan kelemahan struktural asas ekonomi.

“Berdasarkan trajektori pertumbuhan lebih rendah dan risiko pertumbuhan semasa, kami menurunkan unjuran KDNK separuh kedua kepada -3.7 peratus (jangkaan awal: -2.3 peratus) dan unjuran KDNK 2020 kepada -5.9 peratus (jangkaan awal: -2.9 peratus; 2019: 4.3 peratus).

“Kami turut melaraskan unjuran pertumbuhan 2021 kami kepada 5.1 peratus daripada 4.1 peratus yang dibuat sebelum ini,” menurutnya.

Penyelidikan oleh bank pelaburan itu juga berkata berlandaskan kenyataan BNM yang agak menyakinkan mengenai unjuran pemulihan, kemungkinan besar bank pusat memutuskan kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan pada angka tidak berubah, 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bulan depan.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk BNM bergantung kepada pelonggaran monetari seterusnya sekiranya pemulihan lembap, menurutnya.

Sementara itu, firma pembrokeran saham, CGS-CIMB Securities (CGS-CIMB) turut menyemak turun unjuran KDNK Malaysia kepada -4.0 peratus pada 2020 namun menjangkakan peningkatan semula kepada pertumbuhan 7.5 peratus pada 2021 (BNM: 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021).

“Kami menyemak jangkaan OPR dengan pengurangan sebanyak 25 mata asas mungkin diputuskan pada September untuk menyokong risiko negatif ke atas pemulihan ekonomi dan pasaran tenaga kerja,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :