(Gambar hiasan) Penumpang Bas Smart Selangor berbaris dan mengenakan pelitup muka sebelum menaiki kenderaan itu di Seksyen 13, Shah Alam pada 2 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fomca: Wujudkan garis panduan jenis pelitup muka, pastikan kualiti

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mewujudkan garis panduan khusus berhubung perincian spesifikasi dan jenis pelitup muka yang boleh dijual di pasaran bagi kegunaan orang awam.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata langkah itu bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan dengan menjual pelitup muka tidak berkualiti ketika pengguna memerlukannya dalam mengekang penularan Covid-19.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang aduan kekurangan bekalan pelitup muka di pasaran, cuma timbul isu kualiti (pelitup muka) yang tidak menepati tatacara operasi piawai (SOP) KKM walaupun harga dijual amat berpatutan.

“Kita tidak mahu kes seperti alat pengimbas suhu yang dijual pada harga rendah tetapi tidak memenuhi SOP berlaku dan kemungkinan ia boleh terjadi pada pelitup muka memandangkan pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di kawasan sesak dan pengangkutan awam,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Dalam pada itu, beliau mengakui kebanyakan pengusaha premis perniagaan menjual pelitup muka pada harga lebih rendah daripada kadar siling ditetapkan kerajaan iaitu RM1.50 sekeping ketika ini.

“Kerajaan mengambil keputusan menurunkan harga pelitup muka kepada RM1.20 sekeping bermula 16 Ogos ini namun kita berharap peniaga dapat mengekalkan harga yang dijual sekarang.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai mempunyai kemampuan untuk mendapatkan pelitup muka pada harga munasabah dan pada masa sama kualiti diutamakan,” katanya.

Bermula 1 Ogos pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) boleh dikenakan terhadap individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.


Pengarang :