Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri melawat pameran mini selepas majlis pelancaran Promo TV Kempen Cuti-Cuti Malaysia pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONALPELANCONGAN

Garis panduan, SOP gelembung perjalanan siap minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dijangka dapat menyiapkan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung gelembung perjalanan yang dicadang dilaksanakan dengan beberapa negara terpilih minggu depan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata garis panduan dan SOP terbabit akan dikemukakan untuk penilaian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MOTAC diarahkan oleh kerajaan agar mengemukakan cadangan berserta SOP negara kita. Kami juga berbincang dengan duta-duta terlibat, mendengar pandangan mereka. Mereka juga ingin tahu perancangan kita. Kami telah berbincang dengan Jepun, Singapura … ini akan menjadi inisiatif berterusan negara kita,” katanya ketika ditanya mengenai pelaksanaan gelembung perjalanan itu.

Nancy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Promo TV Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ dan pengumuman pemenang pertandingan ‘Video Muzik Cuti-cuti di Rumah’ di sini, hari ini.

Menurut Nancy, MOTAC juga bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar dalam menyiapkan SOP berkenaan.

Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata berdasarkan Siri Jelajah Promosi Pelancongan Domestik, beliau mendapati pelancongan tempatan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.

“Saya gembira melihat sokongan rakyat terhadap pelancongan domestik di mana kebanyakan hotel menerima tempahan penuh dan ramai yang memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa keluarga berjalan-jalan,” katanya.

Beliau berkata satu tinjauan melibatkan 13,797 individu di negara ini mengenai persepsi rakyat terhadap pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan pelancongan domestik masih menjadi pilihan apabila 50.9 peratus responden percaya melancong dalam negara lebih selamat selepas PKP.

Selain itu, 71.3 peratus daripada responden memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat berbanding negara-negara lain, katanya.

Beliau juga berkata pelancaran promo TV hari ini tepat pada masanya dengan tema-tema dalam video itu memberikan identiti unik kepada destinasi pelancongan yang ada di Malaysia

Nancy berkata promosi berterusan perlu dilakukan bagi mencetus minat orang ramai untuk keluar melancong selain menyuntik keinginan merasai sendiri pengalaman yang dilihat dalam video promosi tersebut.

Lima video promosi yang dihasilkan mengetengahkan beberapa tema dan produk pelancongan termasuk pulau dan pantai, aktiviti menyelam laut dalam dan bersnorkel, alam semula jadi dan pengembaraan, makanan tempatan dan tematik iaitu satu genre yang merangkumi semua aktiviti pelancongan.

Selain daripada media arus perdana seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui saluran TV1, TV2 dan TV OKEY, promosi itu turut dimuat naik ke laman web serta platfom digital.

Sementara itu, tiga pemenang pertandingan video muzik ialah Ko Chuan Li (kategori alat muzik), Mohd Yatim Naming (kategori nyanyian) dan Clarissa Premini Robert Jeyakumar (kategori sketsa).

-BERNAMA


Pengarang :