Muhammad Roger Arnold Abdullah (tengah) menyertai Karnival Geng Masjid Ambang 2020 di Masjid Sendayan, Seremban
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Giat bantu mualaf, dulu pemabuk kini pendakwah

Muhammad Roger Arnold Abdullah masak benar dengan kepayahan kehidupan ketika mula-mula memeluk Islam. Beliau sedar mualaf mudah goyah sekali gus terdedah untuk patah balik kepada agama asal. Beliau juga mengalaminya. Lebih-lebih lagi, sedari kecil diasuh keluarganya untuk menjadi paderi.

Justeru, waima sedikit musibah mudah ditafsir sebagai pembalasan kerana tukar agama. Kebetulan tidak lama selepas memeluk Islam, Muhammad Roger diisytihar muflis. Rumah dan keretanya ditarik bank. Isterinya pula terlantar di hospital lapan bulan lamanya akibat penyakit thyroid storm. Beliau sendiri tiada pekerjaan.

“Keluarga yang tidak senang apabila saya memeluk Islam kata semua terjadi itu disebabkan tindakan saya membelakangkan agama sebelum ini dan sedang dihukum,” katanya mengenang kembali saat-saat sukar selepas menganut Islam pada 2013.

Teguran wanita berniqab

Namun, beliau cekal. Tetap pendirian. Malah Muhammad Roger, nama asal Roger James Arnold, menganggap dugaan itu sebagai ujian, mungkin juga balasan terhadap dosa-dosanya sebelum ini. Apatah lagi, beliau sebelum Islam, seorang pemabuk.

Pernah, setiausaha syarikatnya memarahi beliau kerana terlalu mabuk hingga terpaksa dijemput dari rumah orang lain untuk dibawa menghadiri mesyuarat penting. Bebelan wanita itu kukuh dalam ingatannya. Sejak itu, beliau mula mengurangkan pengambilan minuman keras biarpun ketagihan menggelitik terutama saat berdepan tekanan kerja.

Muhammad Roger Arnold Abdullah bersama keluarga yang banyak menyokong usahanya menyebar dakwah

Beliau juga mula tahu sedikit sebanyak perihal Islam. Dulu, ungkapan “Assalamualaikum” pun dicurigainya hingga menyemak maksudnya melalui internet. Paling banyak pengetahuannya mengenai selok-belok Islam diketahuinya melalui setiausahanya yang berniqab, kini telahpun menjadi isterinya.

Hasratnya untuk berdakwah mula meluap-luap sejak mengenali Mercy Mission Malaysia secara kebetulan. Dari situ beliau mendalami pengetahuan agama, malah turut mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Saya tidak tahu pun yang saudara baharu seperti saya ada disediakan bantuan. Saya buat keputusan untuk memperhebatkan dakwah,” katanya.

Beliau bertekad agar tiada lagi mualaf mengulangi kepayahan yang dialaminya dulu. Muhammad Roger juga menanam azam supaya tidak mahu saudara baharu kembali kepada agama asal kerana kurangnya pedoman, jarangnya bantuan. Beliau tidak mungkin lupa kesusahannya dahulu. Bukan mudah untuk kekal pendirian agama jika tiada kecekalan hati.

Bantu mualaf

Justeru, Muhammad Roger menubuhkan syarikat supaya dapat menjana pendapatan dan pada masa sama membantu orang lain sejak 2015. Dianggarkan, seramai 3,000 keluarga asnaf dibantu melalui Inspirasi Mualaf Services. Beliau turut terlibat mengislamkan 150 orang.

Inspirasi Mualaf Services membantu seramai 3,000 keluarga asnaf selain terlibat mengislamkan 150 orang

“Syukur semuanya dipermudahkan. Kita jana pendapatan dengan menjual kemeja-T dakwah yang terjual lebih 10,000 helai, minyak angin dan memiliki restoran.

Inspirasi Mualaf Services adalah sebuah syarikat yang menjana pendapatan untuk menampung kerja dakwah dan bantuan Persatuan Inspirasi Mualaf.

Ketika penularan Covid-19, beliau juga membantu 500 keluarga dengan menyerahkan makanan asas selain membangunkan rumah perlindungan untuk orang kelainan upaya dan warga emas mualaf di Sabak Bernam.

Kesungguhan Muhammad Rogers membantu masyarakat mendapat pujian ramai bahkan beliau-akhirnya- menjadi kebanggaan keluarganya meski mereka masih berbeza kepercayaan.


Pengarang :