Selangorkini
Lim Guan Eng pada sidang media di Parlimen pada 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Guan Eng: Tayangan Piala Dunia 2018 ditaja, tidak libat wang kerajaan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan projek Rundingan Terus (RT) tayangan Piala Dunia FIFA 2018 bernilai RM29.9 juta tidak melibatkan wang kerajaan, sebaliknya menggunakan hasil jualan iklan dan tajaan.

Justeru, Lim berkata projek tersebut perlu digugurkan daripada senarai projek RT Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu lepas.

“Sebaliknya kerajaan mendapat untung RM3.3 juta hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan,” kata Lim yang juga Setiausaha Agung DAP pada sidang media di sini hari ini.

Pada Rabu, Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek yang bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara RT ketika pentadbiran PH, yang mana projek tayangan Piala Dunia FIFA 2018 turut tersenarai.

Susulan pendedahan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mempersoalkan bayaran sebanyak RM29.9 juta kepada Sports Media & Distributor untuk hak menyiarkan siaran sukan tersebut secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedangkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada masa itu mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menanggung sebarang kos.

Lim menjelaskan AirAsia dan Maxis membayar kepada RTM, dan RTM pula membayar kepada Sports Media & Distributor tanpa melibatkan satu sen wang kerajaan.

Justeru, Ahli Parlimen Bagan itu meminta Tengku Zafrul membetulkan perkara tersebut dengan mengeluarkan projek tayangan Piala Dunia FIFA daripada senarai berkenaan.

Semalam, dalam sidang media di Parlimen, Lim menafikan projek RT PH bernilai RM6.61 bilion sebaliknya nilai kesemua projek RT sepanjang pemerintahan kerajaan PH ialah sebanyak RM352 juta.

-BERNAMA


Pengarang :