Pengawal Keselamatan Mohd Haji Ahmad membuat kawalan di pintu pagar Sekolah Kebangsaan Hosba di Jitra, Kedah yang ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran ketika tinjauan pada 3 Ogos 2020 Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hanya kontak rapat, penduduk kawasan PKPD diarah jalani saringan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tiada arahan rasmi kepada ibu bapa dan pelajar yang bercuti di Kubang Pasu, Kedah untuk menjalani saringan Covid-19 di klinik kesihatan.

Sebaliknya, ketua pengarah kesihatan berkata arahan membabitkan mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes serta penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

“Penduduk terlibat (saringan) berada dalam lingkungan satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh di Pekan Napoh, penduduk Kampung Pida Satu di Megat Dewa, penduduk Kampung Bendang Dalam di Mukim Binjal dan penduduk Kampung Ulu di Padang Sanai, Padang Terap.

“Arahan saringan turut melibatkan individu rapat kluster PUI Sivagangga dari 13 hingga 27 Julai atau mereka yang mempunyai gejala demam atau saluran pernafasan,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta Jabatan Kesihatan dan Pendidikan negeri bagi memastikan arahan selari dan sahih.

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan secara pentadbiran di empat mukim di Kedah bermula semalam hingga 30 Ogos susulan 11 kes baharu Covid-19 berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.


Pengarang :