BERITA UTAMASELANGOR

Hari Kebangsaan: GM Klang anjur kempen sokong barang tempatan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Pusat Pemborong GM Klang menghidupkan suasana hari kebangsaan negara dalam kalangan pengunjung tahun ini dengan tarikan topi eksklusif Merdeka melalui kempen ‘Kasi #SupportBaranganTempatan Lah’.

Kempen yang bermula dari 31 Ogos hingga 30 September di kompleks itu merupakan tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 seperti saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ia bagi menunjukkan sokongan kepada barangan dan jenama tempatan di kompleks itu selain sebagai usaha mempertingkatkan ekonomi negara dan semangat cintakan negara dalam kalangan pengguna,” menurut GM Klang dalam kenyataan semalam.

GM Klang memaklumkan kempen itu turut memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan topi eksklusif Merdeka dengan harga RM5 selain berpeluang memenangi insentif beli-belah barangan dan jenama tempatan bernilai RM300.

Pengunjung boleh mendapatkan topi eksklusif Merdeka di kaunter perkhidmatan GM Klang atau ketika sesi ramah mesra bersama maskot Gina & Mat bermula September ini.

Untuk menyertai dan memenangi hadiah-hadiah istimewa semasa kempen itu, pengunjung perlu berswafoto dengan memakai topi Merdeka itu di kawasan menarik GM Klang dan memuat naik gambar di Facebook atau Instagram dengan ‘tag’ GM Klang serta tanda pagar #supportbarangantempatan.

GM Klang akan memilih dan mengumumkan 10 pemenang bertuah pada Oktober.

Di samping itu, GM Klang juga mengedarkan bendera tangan serta membuat pelbagai persiapan hiasan bendera bagi memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan ketika negara sedang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :