Majlis Perasmian Kempen Larangan Meminum Arak dan Menghisap Rokok di Dalam Kawasan Taman Awam Peringkat Negeri Selangor oleh Dato’ Seri Amirudin Shari di Taman Tasik Shah Alam pada 9 Ogos 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hisap rokok, minum arak di taman awam, nasihat sebelum kompaun

SHAH ALAM, 9 OGOS: Individu yang melanggar arahan meminum arak dan menghisap rokok di taman awam diberi amaran serta nasihat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum dikenakan kompaun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kaedah tersebut bagi mendidik orang awam supaya peka terhadap larangan yang dikuat kuasa pada 30 Julai lalu.

“Kita nasihat dan beri amaran sebelum kompaun RM1,000 dikeluarkan. Langkah ini sama seperti larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan di restoran.

“Kerajaan Negeri tidak mahu tergesa-gesa, biar penduduk diberi nasihat dan pendidikan dahulu. Pada saya, larangan ini amat dinantikan masyarakat,” katanya selepas melancarkan Kempen Larangan Meminum Arak dan Menghisap Rokok (termasuk rokok elektronik) di Tasik Shah Alam.

Turut hadir EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim.

Selangor negeri pertama menguat kuasa larangan menghisap rokok termasuk elektronik dan minum arak di taman permainan serta rekreasi.

Penguatkuasaan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor membolehkan pesalah dikompaun sehingga RM1,000.


Pengarang :