Selangorkini
Orang ramai memakai pelitup muka ketika membeli barang keperluan di pasar raya Aeon Big Ampang pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Individu bergejala disyor pakai pelitup muka tiga lapis – Fomca

SHAH ALAM, 2 OGOS: Individu bergejala disaran menggunakan pelitup muka perubatan jenis tiga lapisan sekiranya mengunjungi kawasan sesak yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata ini disebabkan pelitup muka jenis fabrik hanya sesuai bagi individu tidak bergejala yang berada di tempat bukan tumpuan awam.

“Pengguna perlu pakai (pelitup muka) jenis perubatan tiga lapisan kerana fabrik tidak mampu menapis virus dan melindungi khususnya mereka bergejala,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Beliau turut mengesa orang ramai bijak memilih bahan berkaitan yang terdapat di pasaran dengan mengutamakan kualiti berbanding harga sebagai langkah pencegahan terhadap jangkitan Covid-19.

“Pengguna perlu peka dengan pemilihan pelitup muka dan pastikan ia sesuai dengan tempat dikunjungi kerana bimbang akan wujud gelombang ketiga Covid-19 jika tidak mengambil maklum mengenai perkara ini,” katanya.

Kerajaan memutuskan pemakaian pelitup muka diwajibkan semasa menggunakan pengangkutan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum bermula semalam.

Individu yang didapati gagal mematuhi peraturan terbaharu itu boleh dikenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).


Pengarang :