Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ingkar kuarantin: Polis panggil Mohd Khairuddin beri keterangan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah diminta hadir di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) DCP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara berkenaan.

“ Beliau akan beri keterangan kes itu esok,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.

– BERNAMA


Pengarang :