Anggota polis menahan individu yang ingkar PKP menerusi Operasi Bersepadu Covid-19 di Petaling Jaya pada 14 April 2020. Foto Ihsan Polis Daerah Petaling Jaya
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: Polis tahan 86 individu langgar arahan PKP, 11 direman

SHAH ALAM, 22 OGOS: Polis menahan 86 individu kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu 11 direman manakala 75 individu dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan seorang pendatang asing tanpa izin,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP hari ini.

Menurut Ismail Sabri sebanyak 60,918 pemeriksaan dibuat semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP Pemulihan membabitkan 3,988 pasar raya, 5,188 restoran serta 1,026 penjaja, 1,668 kilang, 3,617 bank dan 925 pejabat kerajaan.

“Polis juga mengadakan pemantauan di 1,069 terminal pengangkutan darat, 243 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Tambah Ismail Sabri satu tapak binaan diberi amaran gara-gara gagal patuh SOP menerusi pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Pemeriksaan membabitkan 11 tapak binaan di seluruh negara. Hasil pemeriksaan mendapati sembilan tapak binaan patuh SOP, hanya satu diberi amaran,” katanya lagi.


Pengarang :