AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: PRK Slim ikut garis panduan PRK Chini

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan menggunapakai garis panduan PRK Chini dengan beberapa penambahbaikan yang mengikut peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata tatacara operasi piawai (SOP) untuk PRK tersebut dibuat mengikut Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Antara garis panduan yang dipersetujui termasuk bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP SPR.

“Bilik-bilik gerakan ini perlu didaftarkan dengan SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau menjelaskan SPR akan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan berkenaan.

Ismail Sabri berkata kempen dan ceramah hanya dibenarkan dilaksanakan di kawasan yang tertutup atau di kawasan yang berpagar sahaja bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan.

“Jumlah kehadiran pula perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa manakala pemakaian pelitup muka diwajibkan.

“Waktu untuk keluar mengundi adalah digalakkan untuk mengikut ketetapan SPR bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di pusat mengundi,” katanya.

PRK Dun Slim, Perak dijangka berlangsung 29 Ogos ini dengan penamaan calon pada 15 Ogos sementara 25 Ogos untuk pengundian awal.


Pengarang :