Seorang petugas di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mengambil bacaan suhu jemaah yang mendapat kebenaran khas untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum dibenarkan masuk pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais: Kenal pasti jemaah penting elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 30 OGOS: Keprihatinan pentadbir masjid dan surau mengenal pasti jemaah terutama warga asing penting bagi mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan tersebut bagi meminimumkan kemungkinan tercetusnya jangkitan baharu.

“Solat fardu biasanya dihadiri orang yang sama. Jika ada tambahan (jemaah) hanya melibatkan musafir, maka corak (kehadiran) boleh dibaca dan pentadbir tahu siapa bukan jemaah tetap mereka terutama warga asing.

“Mereka (warga asing) bukan tidak dibenarkan solat (tetapi) kita mahu mengelak penularan (wabak) dalam kalangan jemaah tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan bersetuju membenarkan warga asing untuk solat berjemaah di masjid dan surau bermula 1 September ini mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. Jemaah juga tidak lagi diwajibkan membawa sejadah.

Bagaimanapun, Jais dalam kenyataan kelmarin mengekalkan syarat membawa sejadah sendiri selain melarang warga asing tidak dikenali atau jarang hadir berjemaah di masjid dan surau.


Pengarang :