Orang ramai mengamalkan pemakaian pelitup muka ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jais: Mesti bawa sejadah sendiri, warga asing dikenali boleh hadir

SHAH ALAM, 27 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengekalkan syarat jemaah perlu membawa sejadah sendiri semasa hadir ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Jumaat atau fardu.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata Selangor turut mengekalkan larangan jemaah warganegara asing yang tidak dikenali atau jarang hadir solat berjemaah di masjid dan surau bagi mengelak penularan Covid-19.

“Manakala, bagi warga asing yang benar-benar dikenali pihak masjid dan surau pula dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu secara berjemaah namun tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Keputusan ini dibuat bagi meminimakan kebarangkalian cetusan baharu penularan semula pandemik daripada aktiviti di masjid dan surau. Ketetapan ini terus dikuatkuasakan sehingga satu masa yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut, Mohd Shahzihan semua masjid dan surau diberi kelonggaran beroperasi mengikut kapasiti maksimum selepas penjarakan 1.5 meter termasuk aktiviti pengimarahan juga dibenarkan berkuat kuasa 1 Julai lalu.

“Pentadbir masjid dan surau perlu tetapkan akses dan kemudahan yang wajar kepada pelbagai kategori jemaah termasuk musafir agar mereka dapat mendirikan solat dengan sempurna. Penutupan pintu atau sebarang halangan pula boleh dibuat jika jumlah jemaah sudah mencukupi,” katanya.

Pada 25 Ogos lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan memberi kelonggaran jemaah tidak perlu membawa sejadah dan warga asing dibenarkan solat berjemaah di masjid dan surau mulai 1 September ini.


Pengarang :