Chua Wei Kiat (tengah) bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Pegawai Daerah Gombak, Shukri Mohamad Hamin ketika merasmikan pembukaan Jalan Pintas Bandar Rawang pada 4 Ogos 2020. Foto Jabatan Penerangan (Japen) Selangor
ADNSELANGOR

Jalan Pintas Bandar Rawang atasi kesesakan trafik, jimat masa

SHAH ALAM, 4 OGOS: Pembukaan Jalan Pintas Bandar Rawang sepanjang satu kilometer mampu menjimatkan masa penduduk Bukit Rawang Jaya dan Hulu Selangor ke Kuala Lumpur sehingga 15 minit.

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berkata pembukaan jalan itu juga dapat menyurai kesesakan trafik yang sering berlaku di pekan Rawang.

“Jalan ini dibina secara dua hala sejak lebih 12 tahun lalu tetapi yang dibuka (kepada pengguna) hanya Kampung Lee Kim Sai ke Bandar Rawang manakala menghala ke Kuala Lumpur ditutup disebabkan isu tanah dan keselamatan.

“Susulan itu, kita kerap mengadakan perbincangan bersama Mahumas Sdn Bhd (pemaju), ahli parlimen, pejabat tanah dan daerah, jabatan kerja raya termasuk wakil Masjid Jamek Nurul Iman untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada SelangorKini.

Jalan Pintas Bandar Rawang dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai 12 tengah malam ini.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan jalan berkenaan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen dan Pegawai Daerah Gombak, Shukri Mohamad Hamin.

Difahamkan, jalan baharu dari persimpangan lampu isyarat pasar raya Mydin melalui Masjid Jamek Nurul Iman dibuka sepenuhnya kepada pengguna mulai 12 tengah malam ini.

Sementara itu, Shukri menyeru pemaju meneruskan mana-mana projek pembinaan jalan yang terbiar meskipun proses mencari jalan penyelesaian mengambil masa panjang.

“Mereka (pemaju) perlu berbincang bagi mencapai keputusan menang-menang kerana setiap masalah terutama melibatkan keselamatan dan kepentingan masyarakat itu harus diutamakan,” katanya.


Pengarang :