Orang ramai mematuhi arahan Kerajaan dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di sekitar Dataran Putrajaya pada 1 Ogos 2020. Kerajaan mewajibkan orang ramai memakai pelitup separuh muka jika berada di tempat awam dan sesak untuk mencegah penularan Covid-19. Foto: BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Jangan kurangkan bajet, kesihatan itu pelaburan

*Kenyataan bersama oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.

Wabak pandemik Covid-19 memberi dampak yang amat besar kepada keadaan kesihatan dan sosioekonomi kita dengan menimbulkan pelbagai kebimbangan dan ketidaktentuan. Sementara dunia sedang mempersiap untuk gangguan teknologi digital, kita dikejutkan pula dengan virus SARS-CoV-2 yang kini terus meledak.

Ada beberapa fakta keras yang kita harus terima dalam merencana respon atau tindakbalas:

1. Wabak ini belum nampak akan tamat dalam masa terdekat. Kes sporadik akan terus mengampuh dengan kemungkinan virus itu akan meledak dalam bentuk endemik.

2. Respon terkait kesihatan awam mesti mantap, dan ini adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang
kukuh. Keduanya tidak boleh diasingkan.

Virus SARS-CoV-2 sangat mudah untuk merebak, terutama dalam kawasan yang tertutup di mana terdapat kontak fizikal yang rapat. Tidak ada penawar untuknya. Meski terdapat beberapa jenis vaksin yang kini masih di peringkat kajian dan pembangunan, namun keberkesanannya tidak dapat dipastikan dalam waktu terdekat.

Langkah kesihatan awam terbukti berkesan dalam ‘meratakan lengkung’ dan ia termasuk langkah seperti pengasingan dan kuarantin, pembatasan fizikal, penggunaan pelitup muka dan juga meningkatkan tahap kebersihan diri dan alam sekitar.

Sementara kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempamerkan aksi yang cemerlang di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengemudi negara tatkala wabak, kami yakin lebih banyak lagi yang mampu dibuat dengan campurtangan dan dukungan politik dan kerajaan.

Peruntukan untuk kesihatan awam dan juga pegawai yang relevan wajar ditambah dan ditingkatkan
dalam usaha dan upaya kita memerangi kemelut yang berpanjangan. Peruntukan terkini untuk kesihatan awam seperti yang disebut dalam Belanjawan 2020 adalah sebanyak RM 5.66 bilion dari peruntukan total operasi KKM iaitu sebanyak RM 27.9 bilion.

Untuk sumber manusia pula, sebanyak 78,266 orang staf diperuntukkan untuk kesihatan awam dari jumlah keseluruhan 267,578 staf KKM. Kami menggesa agar peningkatan sebanyak 20% kepada kedua-dua kos operasi dan juga jumlah staf untuk kesihatan awam untuk tempoh dua tahun mendatang.

Ikhtiar kita dalam memperkukuh tahap kesihatan awam akan membolehkan kita untuk menghindarkan negara dan rakyat dari wabak, juga sebagai langkah awal apabila kes-kes dikesan. Meski terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dalam mengesan, kita juga harus sedar pendekatan ini jauh terkebelakang ketimbang pasukan yang diperuntukkan untuk pengesanan kontak di mana mereka mampu untuk memberi nasihat kepada masyarakat secara umum dan juga pada perusahaan dan perniagaan.

Kami juga percaya pendekatan dalam menguji mesti dijalankan. Buat masa sekarang, kita mempunyai
keupayaan tambahan dalam menguji. KKM harus memanfaatkannya untuk ujian sentinel, terutamanya
kelompok masyarakat yang berisiko tinggi seperti di pusat penjagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.

Covid-19 bukan satu-satunya penyakit berjangkit yang sedang merundung negara. Penyakit seperti
Tuberculosis atau TB menjangkiti lebih 20,000 warga setiap tahun, dan demam denggi terus-terusan menjadi masalah dengan menjangkiti lebih 130,000 warga pada 2019. Virus yang mengesankan paru-paru
juga berkemungkinan akan menjadi ancaman di masa hadapan.

Melampaui penyakit berjangkit, Malaysia mempunyai tahap penyakit tidak berjangkit yang tinggi. Kira-kira 8.1% dari warga dewasa (1.7 juta) mempunyai ketiga-tiga risiko penyakit diabetes, darah tinggi dan kolestrol yang tinggi.

Dapatan dari National Health and Morbidity Survey 2019 juga mendedahkan terdapat lebih separuh orang dewasa menghidap penyakit obesiti abdominal, dengan satu per lima kanak-kanak yang mengalami pembesaran yang terganggu. Ini menunjukkan wujudnya epidemik nutrisi yang mesti didepani dengan kadar segera.

Ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus merencana strategi atau jalan keluar dari wabak Covid-19, akan terdapat percubaan untuk mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan juga RMK-12 yang tertunda.

Kami menggesa kerajaan agar dana yang diperuntukkan dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam dilihat sebagai pelaburan, dan bukan semata-mata kos. Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi yang sedang mengesankan negara.


Pengarang :