AGENDANASIONAL

Jangkitan Covid-19 kekal satu digit, empat kes tempatan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Sebanyak sembilan kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan empat kes import dan lima penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kes import merupakan warga asing masing-masing satu dari Filipina, Austria, Indonesia dan India yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Lima kes penularan dalam negara merupakan warga tempatan iaitu tiga kes kluster Tawar (Kedah) dan satu kes kluster Maju (Kuala Lumpur) manakala satu kes bukan warganegara ialah kes saringan sebelum pulang ke negara asal yang tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 9,249 dan 179 aktif dengan kebolehjangkitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah 13 kes pulih, tujuh dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif maut akibat Covid-19 kekal 125 kes,” katanya.


Pengarang :