AGENDANASIONAL

Jangkitan Covid-19 kembali satu digit, hanya babit lima kes import

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kes baharu Covid-19 kembali satu digit hari ini apabila hanya melibatkan lima kes import menjadikan jumlah keseluruhan 9,240, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu melibatkan dua warganegara dan tiga warga asing yang empat daripadanya mendapat jangkitan dari Jepun manakala satu dari Bangladesh.

“Tiada kes penularan tempatan direkodkan hari ini. Setakat 12 tengah hari tadi terdapat 183 kes aktif dengan kebolehjangkitan dan mereka sudah diasing dan dirawat.

“Tujuh pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), empat memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan tiada kematian baharu direkodkan dan jumlah kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.35 peratus daripada keseluruhan.

“Hari ini tujuh kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,932 kes iaitu 96.7 peratus,” katanya.


Pengarang :