Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas Ziarah Kasih warga emas di Flat Taman Damai Indah, Kajang pada 22 Ogos 2020.
ADNSELANGOR

JKM, persatuan penduduk digesa siasat warga emas tinggal dengan penagih

KAJANG, 22 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menjalankan siasatan mengenai seorang warga emas menetap bersama cucunya dipercayai penagih dadah di Flat Taman Damai Indah di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang berkata tindakan segera perlu dilakukan kerana ia menimbulkan kebimbangan penduduk setempat selain wanita berusia 75 tahun itu juga menjaga seorang anak yang sakit.

“Saya harap JKM dan persatuan penduduk boleh menyiasat serta mengambil tindakan segera kerana dikatakan cucunya membawa rakan-rakan untuk menghisap bahan terlarang itu.

“Semoga perkara ini dapat diselesaikan kerana bimbang akan keselamatan warga emas dan anaknya itu,” kata Hee Loy Sian kepada SelangorKini selepas menziarahi wanita itu bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai dan Damai Indah, Muhammad Bashir Maktar di sini hari ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai dan Damai Indah, Muhammad bashir Maktar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

EXCO Kerajaan Negeri turut menyerahkan bantuan sumbangan peralatan dapur dan juga wang tunai kepada warga emas berkenaan.

Sementara itu Muhammad Bashir berkata atas sebab keselamatan, penduduk berharap supaya wanita itu dipantau pusat jagaan orang tua.

“Difahamkan nenek berkenaan terpaksa tidur di bahagian ruang tamu disebabkan bilik di dalam rumah menjadi tempat cucu dan rakannya melakukan kegiatan tidak bermoral,” katanya.


Pengarang :