Lelaki berusia 48 tahun yang direman tujuh hari sebelum ini, disambung reman lagi lima hari bagi membantu siasatan kes penjualan organ manusia.
AGENDANASIONAL

Jual organ manusia: Reman peniaga dilanjut lima hari

KUCHING, 21 OGOS: Seorang lelaki yang direman polis sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan berhubung aktiviti pemerdagangan organ manusia bagi pasaran antarabangsa, diperintahkan hari ini direman lima hari lagi memandangkan siasatan kes itu belum lagi selesai.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching yang bertindak sebagai Majistret, Dora Undau mengeluarkan perintah itu terhadap lelaki berusia 48 tahun tersebut berikutan permohonan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Suspek dibawa ke mahkamah hari ini selepas perintah tahanan reman pertama selama tujuh hari tamat semalam, selepas dia tampil menyerah diri pada 13 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M M Sree dalam kenyataan selepas lelaki itu ditahan, berkata suspek menyerah diri di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu polis berikutan pendedahannya kepada akhbar tabloid Britain bahawa dia adalah broker aktiviti jual beli organ manusia.

Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu kepada wartawannya yang menyamar, yang suspek adalah broker pemerdagangan organ manusia yang diperoleh daripada mangsa miskin.

Dalam artikel itu, suspek memberitahu kepada wartawan berkenaan yang dia boleh mengaturkan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos 85,000 pound sterling (kira-kira RM469,977).

Dia juga dilaporkan mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk mempengaruhi mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-BERNAMA


Pengarang :