AGENDANASIONAL

Jualan dagangan borong, runcit naik hampiri nilai sebelum PKP

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 21.8 peratus bagi Jun 2020, berbanding bulan sebelumnya, sekali gus menghampiri nilai jualan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor perdagangan borong merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan ini dengan RM49.0 bilion, meningkat RM8.3 bilion atau 20.3 peratus, diikuti kenderaan bermotor yang berkembang RM5.3 bilion atau 78.9 peratus kepada RM12.1 bilion.

“Perdagangan runcit turut naik RM4.8 bilion atau 13.0 peratus untuk merekodkan RM41.8 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata prestasi subsektor perdagangan borong merekodkan 20.3 peratus pada Jun 2020.

Lain-lain pengkhususan jualan borong memacu kenaikan ini untuk mencatatkan RM17.3 bilion dengan 35.6 peratus pertumbuhan bulan ke bulan.

Jual borong barangan isi rumah juga meningkat dengan merekodkan 20.1 peratus kepada RM10.3 bilion diikuti jual borong jentera, peralatan dan bekalan yang menjana nilai sebanyak RM4.2 bilion, menokok 23.2 peratus daripada angka pada Mei 2020, katanya.

Mohd Uzir juga berkata subsektor kenderaan bermotor turut melonjak untuk mencatatkan 78.9 peratus pada Jun 2020.

“Jualan kenderaan bermotor merekodkan kenaikan bulan ke bulan tertinggi sebanyak RM3.5 bilion, naik 113.5 peratus untuk mencapai RM6.7 bilion. Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang mencatatkan nilai jualan RM2.9 bilion, meningkat RM1.1 bilion, bersamaan dengan 59.7 peratus,” katanya.

Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menunjukkan peningkatan RM0.5 bilion atau 44.6 peratus untuk mencatatkan RM1.5 bilion.

Beliau berkata sementara itu bagi perdagangan runcit, kesemua aktiviti runcit terus merekodkan pertumbuhan positif pada Jun terutama jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dengan RM16.0 bilion, peningkatan RM1.4 bilion atau 9.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Ini diikuti jualan runcit di kedai pengkhususan yang meningkat RM1.3 bilion atau 18.8 peratus kepada RM8.2 bilion selain jualan runcit barangan isi rumah juga berkembang untuk merekodkan RM5.1 bilion, peningkatan RM0.7 bilion atau 16.7 peratus, katanya.

Mohd Uzir berkata bagi perbandingan tahun ke tahun, jualan perdagangan borong dan runcit susut 8.4 peratus berbanding setahun lepas namun bertambah baik selepas pertumbuhan negatif dua digit selama dua bulan berturut-turut.

“Subsektor perdagangan borong mencatatkan kejatuhan terbesar berbanding subsektor yang lain iaitu sebanyak RM4.6 bilion atau -8.7 peratus berbanding setahun yang lepas.

“Perdagangan runcit juga susut sebanyak RM4.2 bilion atau -9.2 peratus. Kenderaan bermotor turut jatuh sebanyak RM0.6 bilion atau -4.5 peratus pada bulan ini,” katanya.

Beliau berkata indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan merekodkan 35.5 peratus pertumbuhan tahun ke tahun.

Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit terus meningkat 25.2 peratus berbanding bulan lepas, didorong kenderaan bermotor yang merekodkan 90.2 peratus.

-BERNAMA


Pengarang :