SELANGOR

Judi: 18 premis dipotong bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Sebanyak 18 buah premis telah dipotong bekalan elektrik, yang melibatkan premis rumah kedai dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian di sekitar Ampang, Pandan Indah, dan Pandan Perdana, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Azam Ismail berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik berkenaan dibuat bersama pihak Tenaga Nasional Berhad dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, semalam.

Beliau berkata, tindakan pemotongan bekalan elektrik ini diambil bagi mengekang aktiviti perjudian, di daerah Ampang Jaya.

“Tindakan pemotongan elektrik oleh kakitangan Tenaga Nasional Berhad mengikut undang-undang di bawah Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Undang-undang berkaitan bertindak mengikut Undang-Undang Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) dengan kuasa-kuasa yang telah diberikan di bawah seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian di dalam premis,” katanya dalam kenyataan semalam.

– BERNAMA


Pengarang :