Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penutup Program Keusahawanan Selangor Restart di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 12 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Junjung kasih titah Sultan Selangor, tekad pastikan tiada rasuah – MB

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan mensia-siakan pengiktirafan Juara Bebas Rasuah diterima dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya menyambut baik dan memberi perhatian serius titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam memastikan rekod pencapaian bebas rasuah itu tidak lagi tercalar.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih akan keprihatinan Baginda berhubung isu rasuah dalam kalangan segelintir pegawai Jabatan Penguatkuasaan agensi kerajaan di Selangor.

“Komitmen kita dalam agenda banteras gejala rasuah adalah salah satu komponen reformasi institusi yang diperjuangkan sejak dahulu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu ditegaskan lagi dengan komitmen Kerajaan Negeri melalui Ikrar Bebas Rasuah ditandatangani pada 19 Ogos tahun lalu.

“Justeru, tekad dan iltizam untuk membanteras gejala tidak sihat ini akan terus dimantapkan dari semasa ke semasa dan terus menghormati lunas perundangan dalam setiap tindakan diambil,” katanya.

Hari ini, Sultan Selangor menyeru kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu yang perlu dielakkan semasa bertugas.


Pengarang :