AGENDANASIONAL

Kadar air tidak berhasil turun lebih sasaran pada 2019

SHAH ALAM, 18 OGOS: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berjaya menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 29.6 peratus tahun lalu berbanding 31.6 peratus pada 2018.

Dalam Laporan Prestasi 2019, Air Selangor memaklumkan penurunan dua peratus jauh lebih baik berbanding sasaran asal iaitu 30.6 peratus.

“Air Selangor meneruskan capaian positif mengurangkan purata NRW sekali gus mencatat rekod rendah dalam sejarah industri bekalan dan agihan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“(Kejayaan) ini dicapai melalui perancangan intensif dan pelaksanaan berterusan beberapa inisiatif dalaman sejak 2017,” menurut laporan itu.

Inisiatif tersebut merangkumi usaha mengurangkan kes paip pecah, pemasangan alat pengesanan pada paip utama, penggantian paip dan meter lama serta rosak.

“Air Selangor yakin inisiatif dan program untuk mengurangkan NRW akan berjaya dengan sasaran pengurangan satu peratus setiap tahun,” kata syarikat tersebut.

Tahun ini, kira-kira RM171.63 juta diperuntuk berbanding RM164 juta pada 2019 untuk pelaksanaan program menurunkan kadar NRW dan kerja penggantian meter.

Selain itu, sebanyak RM144.5 juta diagih untuk penggantian paip lama dan kerap pecah berbanding RM161.9 juta tahun lalu.


Pengarang :