Orang ramai mematuhi penjarakan fizikal semasa berada di sebuah restoran di sekitar Teluk Kumbar yang dikaitkan dengan kluster Tawar pada 16 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kajian dibuat kenal pasti kluster Sala, Tawar punyai mutasi D614G

TANJUNG MALIM, 21 OGOS: Kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada Kluster Sala dan Tawar mempunyai mutasi jenis D614G seperti Kluster Sivagangga berkaitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes kedua-dua kluster pandemik berkenaan dan segala pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.

“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini hari ini.

Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti tatacara operasi piawai (SOP).

Lapan kes baharu dilaporkan pada Rabu lepas melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi Kluster Tawar sebanyak 55 kes, manakala tiga kes baharu dilaporkan di Kedah, menjadikan 11 kes membabitkan Kluster Sala.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilapor tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara, Dr Noor Azmi berkata siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku perlanggaran SOP.

“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung pematuhan SOP ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Dr Noor Azmi berkata tiada laporan pelanggaran SOP dibuat setakat ini.

– BERNAMA


Pengarang :