SSM menerima 4,542 permohonan penamatan perniagaan manakala 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
AGENDAEKONOMINASIONAL

Kajian: Majoriti golongan muda minat niaga, pelbagai sumber kewangan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Sebilangan besar golongan muda Malaysia telah melahirkan minat untuk memulakan perniagaan baharu ataupun mewujudkan aliran pendapatan kedua dalam persekitaran pandemik Covid-19 pada masa ini.

Pada masa sama golongan muda ini turut belajar menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, demikian menurut Standard Chartered Malaysia.

Dalam satu kenyataan, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Abrar A. Anwar berkata rakyat Malaysia secara umumnya terkesan teruk akibat pandemik itu dengan satu pertiga daripada mereka sudahpun berhadapan dengan kekurangan pendapatan.

“Walaupun mereka menjangkakan pendapatan dan pekerjaan mereka akan terus terjejas, keyakinan terhadap kemahiran yang mereka ada memberikan harapan untuk pemulihan.

“Bank mempunyai peranan untuk dimainkan dengan membantu mereka menguruskan wang dan menyediakan alat untuk menjadikan perbankan lebih mudah agar mereka lebih fokus menuju ke arah pemulihan,” kata beliau.

Tinjauan yang dilakukan oleh Standard Chartered mendedahkan rakyat Malaysia dari semua peringkat usia amat yakin dengan kemahiran mereka, dengan golongan yang berusia 55 dan 64 merasakan paling lengkap berkemahiran (93 peratus) berbanding 77 peratus yang berusia antara 18 hingga 34.

Namun, dengan ramai yang lulus ataupun meninggalkan sekolah di tengah-tengah kemelesetan dunia, generasi mudalah yang lebih sanggup, atau mampu, untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Kajian menunjukkan 79 peratus rakyat Malaysia yang berusia 25-34 tahun akan memulakan aliran pendapatan kedua berbanding 69 peratus mereka yang berusia melebihi 55; dan 77 peratus berusia 18-44 akan mendapatkan semula kemahiran berbanding 63 peratus mereka yang berusia 55 dan ke atas.

-BERNAMA


Pengarang :