Warga kerja Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) Selangor melafazkan ikrar bebas rasuah dalam suatu majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 25 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kakitangan MBI lafaz ikrar bebas rasuah, mahu jadi organisasi contoh

SHAH ALAM, 25 OGOS: Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek mengetuai 172 kakitangan melafaz dan menandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen membanteras sikap tidak bermoral itu.

Norita berkata setiap individu yang melafaz ikrar perlu faham tanggungjawab masing-masing sepanjang melaksanakan tugas dengan menolak rasuah.

“MBI perlu menjadi organisasi contoh yang berjaya mengamalkan tahap integriti tinggi kepada syarikat atau organisasi lain di Selangor dan juga Malaysia, ini yang kita hasratkan.

“Malah MBI juga merupakan cerminan kepada kejayaan Kerajaan Negeri, jadi warga MBI perlu mengamalkan integriti dengan sepenuh hati,” katanya pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Norita menambah MBI menubuhkan Jabatan Integriti dan Governans sebagai usaha memperkukuh tadbir urus korporat dan memupuk nilai murni dalam kalangan kakitangan.

“Saya percaya mana-mana organisasi yang berhasrat untuk berkembang maju dan menjadi nilai kepada masyarakat perlu memastikan barisan kepemimpinannya mengamalkan nilai integriti.”

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru kakitangan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menyambut baik dan memberi perhatian serius titah Sultan Sharafuddin dalam memastikan rekod pencapaian bebas rasuah itu tidak lagi tercalar.


Pengarang :